KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Haji Azli Yusof, menggesa tindakan mitigasi segera bagi mengatasi masalah banjir kilat berulang di sekitar Plaza Tol Shah Alam, Lebuhraya NKVE, Seksyen 13 dan kawasan i-City.
Ketika membahaskan peruntukan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, beliau membangkitkan kesan banjir terhadap pengguna jalan raya, termasuk kesesakan lalu lintas dan gangguan perjalanan di laluan NKVE, ELITE serta GCE.
Menurut beliau, kejadian banjir kilat di kawasan Plaza Tol Shah Alam yang berlaku dua hari berturut-turut menyebabkan laluan NKVE tidak dapat dilalui kenderaan hampir dua jam.
Azli menekankan bahawa penyelesaian jangka panjang melalui projek Rancangan Tebatan Banjir adalah penting, namun langkah sementara perlu dipercepat bagi melindungi penduduk dan pengguna jalan raya.
Beliau turut menggesa penyelarasan lebih berkesan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya, pengendali lebuh raya serta pihak pemaju untuk memastikan kapasiti sistem perparitan dan saliran bandar dipertingkat.
Langkah itu penting agar pembangunan pesat di Shah Alam disokong oleh infrastruktur saliran yang mampu mengurangkan risiko banjir, sekali gus menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Sumber: Hansard Digital Dewan Rakyat, 18 November 2026