WAN ZAHARI SALLEHApril 5, 2026
FOTO BERITA: Majlis Jamuan Rakyat Sempena Aidilfitri 2026 bersama YB Haji Azli Yusof Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Danial Al Rashid Haron ADUN Batu Tiga di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. 5hb April 2026 (Ahad)
Kira-kira 5,000 hingga 6,000 pengunjung membanjiri Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19, di sini hari ini.
Majlis anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga itu dihadiri Azli Yusof dan Danial Al Rashid Haron yang meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat.
Program tahunan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu diadakan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain mengukuhkan semangat silaturahim dalam kalangan warga setempat.
Menurut Azli, penganjuran majlis tersebut merupakan kesinambungan tradisi tahunan bagi mendekati rakyat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana Aidilfitri.
“Program ini adalah hasil kerjasama antara kedua-dua pusat khidmat dalam usaha menyantuni masyarakat, selari dengan seruan kepimpinan negara agar berbelanja secara berhemah. Kita tetap adakan jamuan ini secara sederhana tanpa bermewah-mewah,” katanya
Beliau berkata, majlis seumpama ini juga menjadi platform penting untuk bertemu rakyat yang tidak sempat disantuni sepanjang bulan Ramadan lalu, selain mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka.
Dalam pada itu, Azli turut menyentuh kesan konflik di Timur Tengah terhadap ekonomi rakyat, khususnya dari segi kenaikan harga minyak dan barangan.
“Walaupun harga RON95 masih dikekalkan pada kadar RM1.99, kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup pada masa hadapan. Justeru, amalan berbelanja secara berhemah perlu dipupuk dari sekarang,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak Parlimen Shah Alam bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan, termasuk bantuan asas dan keperluan mendesak.
Sementara itu, Danial berkata sambutan luar jangka daripada orang ramai mencerminkan keakraban hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi..
“Kita jangkakan kehadiran sekitar 5,000 hingga 6,000 orang. Seawal jam 5 petang, makanan sudah hampir habis walaupun persiapan dibuat sehingga jam 6 petang. Ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya akan meneliti semula perancangan program di kawasan Batu Tiga susulan arahan kerajaan negeri agar memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.
“Kita mungkin akan menangguhkan program seperti karnival atau sukan, dan memberi fokus kepada membantu rakyat yang benar-benar terkesan dengan keadaan semasa,” jelasnya.
Majlis tersebut bukan sahaja menghidangkan pelbagai juadah Aidilfitri, malah menjadi medan memperkukuh ukhuwah serta mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
https://harapandaily.com/2026/04/05/jamuan-aidilfitri-jadi-platform-dekati-rakyat-dengar-suara-akar-umbi/
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen bimbang skala ekonomi besar terhasil dalam sektor minyak dan gas (O&G) akan terjejas susulan pertikaian kawal selia operasi PETRONAS di Sarawak yang kini berlanjutan ke mahkamah.
Merujuk petisyen difailkan kerajaan Sarawak mencabar tiga undang-undang persekutuan termasuk Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, berkata langkah itu disifatkan 'sedikit agresif'.
Beliau menjelaskan, PDA diwujudkan untuk memastikan keberdayaan ekonomi sektor O&G dan telah membangunkan pertumbuhan skala ekonomi positif yang turut meliputi kemahiran, tenaga kerja serta kepakaran teknikal.
"Kalau perkara itu diputuskan dan memecahkan skala ekonomi, ia akhirnya mengecilkan sumber dalam negara. Jika Sarawak ingin membangkitkan isu ini, ia akan mengaitkan pengaruh ekonomi berkenaan dengan industri minyak dan gas," katanya sambil menggesa satu penyelesaian 'menang-menang' dicari.
"PETRONAS tidak rugi dan Sarawak juga tidak kehilangan keuntungan."
Selain PDA, kerajaan Sarawak pada 23 Februari lalu turut memfailkan mencabar Akta Pelantar Benua 1966, dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 di Mahkamah Persekutuan.
Ia turut menyatakan niatnya untuk menentang usaha PETRONAS bagi mendapatkan kejelasan kehakiman berkait perundangan yang mengawal selia operasinya di negeri itu.
Azli turut menekankan walaupun langkah Sarawak itu dilihat agresif, ia masih wajar dirujuk kepada mahkamah.
Apa juga pertikaian mesti dirujuk kepada pihak mahkamah untuk memastikan setiap pihak mendapat keputusan adil dan mengikut perundangan sedia ada.
"Langkah ini bukan semata-mata untuk menilai semula peranan PETRONAS, tetapi lebih kepada memastikan kepentingan negeri dan negara seimbang," katanya.
Azli menekankan paling penting keputusan mahkamah nanti akan memberi kepastian kepada semua pihak tanpa menjejaskan pertumbuhan skala ekonomi telah dibina selama ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/03/1518705/usah-gugat-skala-ekonomi-industri-minyak-gas
KENYATAAN MEDIA
PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH)
PERTIKAI KEWIBAWAAN UIAM: PAS DIGESA MOHON MAAF KEPADA WARGA UIAM DAN HORMATI PERANAN INSTITUSI ILMU
1. Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam keras kenyataan Setiausaha Agung PAS yang mempertikai kewibawaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjalankan kajian berkaitan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
2. UIAM bukanlah sebuah universiti yang terlalu “junior” seperti didakwa, sebaliknya telah ditubuhkan pada tahun 1983, menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi awam yang telah berkhidmat lebih empat dekad kepada negara.
3. Sepanjang tempoh tersebut, UIAM telah melahirkan ribuan graduan, sarjana dan profesional dalam bidang undang-undang, pentadbiran awam, ekonomi, perancangan bandar dan dasar awam, termasuk mereka yang kini berkhidmat kepada negara sejak puluhan tahun, bukan institusi picisan yang boleh dipersendakan demi kepentingan politik sempit.
4. UIAM hanya beberapa tahun lebih muda daripada universiti-universiti tempatan lain, dan tidak pernah dianggap tidak berwibawa. Malah dalam bidang perundangan, tadbir urus dan dasar awam, UIAM diiktiraf sebagai pusat rujukan utama di peringkat nasional dan antarabangsa.
5. Tindakan mempertikaikan UIAM ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan sikap politik yang anti-ilmu, anti-akademik dan anti-wacana berfakta.
6. AMANAH menegaskan bahawa kajian akademik dijalankan berasaskan kaedah saintifik, kerangka analisis dan kebebasan akademik, agar ia bebas dari arahan atau kecenderungan mana-mana pihak berkepentingan.
7. Kenyataan SU Agong PAS ini menimbulkan persoalan sama ada PAS hanya mengiktiraf kepakaran akademik apabila ia menguntungkan mereka, dan menolaknya apabila tidak. Sekaligus menimbulkan keraguan terhadap reputasi institusi akademik yang dihormati.
8. Sikapnya meragui kewibawaan UIAM juga dilihat sebagai cubaan melemahkan peranan universiti dan dapatan kajian ilmiah dalam menyumbang kepada pembentukan dasar awam dan reformasi institusi negara.
9. AMANAH mengingatkan bahawa merendahkan martabat mana-mana universiti awam sebelum kajian bermula hanya menguatkan persepsi bahawa PAS takut kepada fakta, data dan perbahasan terbuka malah boleh membina persepsi negatif yang menghakis keyakinan rakyat terhadap ilmu, kepakaran tempatan dan masa depan negara.
10. Isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah isu reformasi tadbir urus bandar yang serius dan memerlukan perbincangan matang, terbuka dan berfakta, bukan polemik politik sempit.
11. Justeru, AMANAH menyeru PAS agar menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM, menghormati peranan institusi ilmu serta kembali berpolitik secara bertanggungjawab, beretika dan berasaskan fakta.
YB Azli Bin Yusof
Pengerusi Biro Pendidikan dan Pemerkasaan Masyarakat
Parti Amanah Negara